Selasa, 15 November 2011

Pengangguran Di Malaysia Tidak Membimbangkan

Pengangguran Di Malaysia Tidak Membimbangkan

Kerajaan sentiasa melakukan pelbagai usaha bagi mengatasi masalah pengangguran terutama di kalangan graduan di negara ini walaupun ia berada pada tahap yang tidak membimbangkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata kadar pengangguran ketika ini adalah pada tahap 3.2 peratus dan kadar pengangguran di bawah empat peratus adalah kadar yang biasa.

"Suku yang lepas 3.1 peratus...naik 3.2 peratus sekarang ini bila graduan keluar. Sewaktu krisis ekonomi 2008-2009, ia naik dekat empat peratus. Dalam masa setahun dengan inisiatif kerajaan lepas tu turun hingga sekarang.

"Kalau kita bandingkan dengan Amerika Syarikat, Jerman dan Australia...(kadar pengangguran) berganda," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ceramah sambil makan tengah hari antara Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Multinasional dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri di Kedah di Alor Setar hari ini.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Katanya banyak perancangan diadakan untuk graduan bagi mengelakkan pengangguran yang bukan hanya dilakukan oleh kerajaan tetapi juga oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

"Kerajaan melalu Jabatan Tenaga Kerja mewujudkan portal (JobsMalaysia.gov.my) untuk pendaftaran di mana majikan juga akan mendaftar pekerjaan yang ada. Untuk tahun ini daripada Januari hingga Oktober kita dah dapat tempatkan 170,000 pencari kerja berdaftar termasuk 52,000 graduan.

"Itu belum lagi menerusi usaha syarikat swasta seperti karnival kerjaya. Ini bantu tampung keperluan penganggur di negara ini. Kita ada dekat 40,000 majikan di negara yang mendaftar dalam portal kita. Ketika ini kerja kosong ada 130,000 seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat," katanya.

Maznah berkata bagaimanapun masalah terlalu memilih kerja di kalangan rakyat di negara ini terutama graduan menyebabkan masalah pengangguran masih berlaku.

"Nasihat saya cari pengalaman walaupun tidak secocok dengan kelulusan dan bidang. Pengalaman itu boleh digunakan untuk rujukan mendapat pekerjaan lebih baik," katanya.

- BERNAMA

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan