Rabu, 20 Ogos 2014

PDRM Serap Kor SUKSIS Isi Jawatan Inspektor

 PDRM Serap Kor SUKSIS Isi Jawatan Inspektor

KOTA BAHARU, 17 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menyerap Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk mengisi jawatan di peringkat Inspektor.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Wira Ayub Yaakob berkata pengambilan khas akan dibuka bagi memberi peluang kepada bakal graduan untuk mengisi jawatan tersebut selain mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

"Kita sedang mengkaji pelaksanaan ini dan dari segi teorinya kita tiada masalah kerana mereka sudah menjiwai bidang polis ini seperti latihan kawad, undang-undang dan serba sedikit amali tentang tugas kepolisan.

"Pelaksanaan akan dibuat secepat mungkin dan sekarang ini kita sedang mengkaji bersama di Jabatan Pengurusan kita dan secara prinsip telah dipersetujui cuma dari aspek pelaksanaan mekanisma sedang dibuat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan warga PDRM Kontinjen Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.

Katanya, lebih 20,000 alumni SUKSIS pula akan diserap untuk menjadi sukarelawan polis.

Beliau berkata pihaknya bakal menubuhkan Kor SUKSIS Intitut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang melibatkan 20 IPTS di negara ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ayub berkata sehingga Jun lepas jenayah di negara ini telah menurun sebanyak 10.7 peratus berbanding tempoh sama tahun 2013.

"Bagi negeri Kelantan pula, kes jenayah menurun sebanyak 5.6 peratus tetapi kita perlu mengambil inisiatif yang lebih berkesan dan agresif untuk kurangkan kes terutama kes kecurian kenderaan yang menyumbang 40 peratus kes jenayah di negeri ini," katanya.

Beliau berkata kes kecurian kenderaan terutama motosikal dan kenderaan semakin meningkat dan langkah proaktif perlu diambil bagi mengurangkan jenayah tersebut.

"Kes ini meningkat mungkin disebabkan faktor geografi yang bersempadanan dengan Malaysia-Thailand," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan