.

Khamis, 31 Mei 2012

Skim Latihan 1Malaysia

Skim Latihan 1Malaysia Tawar Diskaun Cukai Berganda

Tarikh: May 29, 2012

MELAKA - Kira-kira 100 syarikat disasar menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) menjelang akhir tahun ini berikutan pengumuman insentif potongan cukai berganda oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata insentif itu dapat memberi galakan kepada syarikat sedia ada dan syarikat lain membantu graduan menganggur memperoleh pekerjaan.
  
Beliau berkata, pada masa ini, 49 syarikat kebanyakannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menyertai SL1M secara tanggung jawab sosial.
  
"Ini bermakna setiap RM1 yang dibelanjakan pihak syarikat dalam SL1M selepas ini akan mendapat potongan cukai RM2," katanya kepada pemberita selepas majlis graduasi pelatih SL1M - Telekom Malaysia Berhad (TM) di Universiti Multimedia di sini hari ini.
  
Seramai 202 graduan kohort dua yang menjalani latihan kemahiran insaniah selama dua bulan dijalankan TM menerima sijil masing-masing pada majlis tersebut.  
  
Najib dalam ucapan dasar pada persidangan "Invest Malaysia 2012" hari ini mengumumkan bahawa mulai 1 Jun, syarikat yang menyertai program SL1M berhak mendapat insentif pengurangan cukai dua kali ke atas peruntukan dan perbelanjaan latihan yang digunakan.
  
Nor Mohamed berkata penyertaan lebih banyak syarikat dalam skim itu mampu membantu kira-kira 20,000 daripada 90,000 graduan di negara ini yang menghadapi masalah memperoleh pekerjaan atau bekerja tidak setaraf dengan kelayakan pada setiap tahun.
  
Beliau berkata sejak dilancarkan pada Jun tahun lepas, seramai 8,262 graduan telah diberi peluang menyertai SL1M dengan 3,879 atau 47 peratus peserta telah berjaya memperoleh pekerjaan.
  
Katanya 4,324 atau 52.3 peratus peserta pula masih aktif menjalani program latihan manakala selebihnya masih menunggu peluang pekerjaan dan maklumat mereka telah dipanjangkan kepada pihak JobsMalaysia bagi membantu menyuai padan pekerjaan yang sesuai.
  
Justeru, beliau menggesa syarikat-syarikat terutama pihak swasta agar menyertai skim itu bagi membantu pembangunan modal insan di negara ini. – Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan