Ramai majikan kecewa dengan pencari kerja
daripada kalangan "generasi Y" yang umumnya mempunyai kelulusan baik
mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksan tetapi kemahiran berkomunikasi
yang lemah, terlalu dimanjakan bagi menangani sebarang tekanan, dan ingin cepat
naik pangkat walaupun tiada pengalaman.
Rekrut Gen Y, berbanding generasi sebelumnya,
juga kurang tertarik dengan faedah pekerjaan yang ditawarkan majikan seperti
insurans perubatan dan bonus tetapi lebih tertarik terhadap ganjaran wang tunai
serta merta bagi prestasi yang ditunjukkan, lapor hasil tinjauan di kalangan
kumpulan majikan dan pengusaha syarikat.
Ini adalah antara petunjuk bagi 20 sikap
pencari kerja masa kini yang sebahagian besarnya berpunca daripada dasar
pendidikan pada tahun-tahun sebelumnya yang tidak menekankan kepentingan bahasa
Inggeris, kata kumpulan pendidikan sekolah.
Malah, Parent Action Group for Education
(Page) percaya semua dasar ini mencipta sebuah "generasi hilang
punca" yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris lebih lemah berbanding
generasi sebelumnya dan terlepas perubahan di sekolah yang memberi manfaat
kepada generasi akan datang.
Setiausaha Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk
Shamsudin Bardan berkata, kaji selidik beberapa tahun lalu di kalangan ahlinya
mendapati 60% daripada mereka yang dikenal pasti lemah dalam bahasa Inggeris
menjadi masalah utama rekrut muda.
Satu kajian hampir serupa turut dijalankan
pada September tahun lalu oleh agensi pengambilan pekerjaan atas talian
JobStreet.com yang mendapati 55% pengurus kanan dan syarikat yang mengambil
bahagian berkata, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah adalah sebab utama
pengangguran di kalangan mahasiswa.
Lulusan sekolah juga yang mempunyai gred A dan
B bagi subjek Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga tidak
boleh bertutur, kata Shamsudin.
"Itulah sebabnya kami teruja apabila
kerajaan mengambil keputusan mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris
(PPSMI) yang kami rasakan mampu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka.
"Malangnya ia dibatalkan selepas tujuh
tahun apabila kita sepatutnya membenarkan ia diteruskan bagi tempoh 14 hingga
15 tahun untuk melihat keberhasilannya.
"Ketidakupayaan bertutur dan memahami
bahasa Inggeris (antara lepasan sekolah) merupakan aduan yang sering diterima
di kalangan ahli kami," kata Shamsudin. MEF mempunyai 4,800 ahli dan 21
pertubuhan gabungan pengusaha.
Ia merupakan kumpulan majikan terbesar yang
secara kolektif menggunakan dua pertiga daripada 2.2 juta penduduk bagi sektor
swasta secara rasmi.
Christopher Raj daripada Persatuan Majikan
Hotel berkata, daripada 10 pemohon kerja dalam sektor hospitaliti, lapan atau
sembilan tidak boleh berbahasa Inggeris.
"Masalah itu adalah teruk dan bukan
sahaja melibatkan belia lepasan sekolah tetapi juga graduan dari
universiti-universiti tempatan. Anda bertanya mereka dalam bahasa Inggeris dan
mereka menjawab dalam BM.
"Graduan kolej swasta jauh lebih
baik," kata Raj, yang juga ahli majlis MEF.
Memandangkan undang-undang imigresen tidak
membenarkan pihak hotel mengupah pekerja asing yang lebih mahir berbahasa
Inggeris bagi kakitangan di bahagian hadapan di mana keperluan berbahasa
Inggeris sangat penting, kebanyakan hotel besar terpaksa menganjurkan kursus
bahasa Inggeris untuk pekerja baru mereka.
Kursus-kursus direka untuk membina keyakinan
terhadap pelatih bagi kakitangan restoran dan kaunter bertutur dalam bahasa
itu, kata Raj.
Pengerusi Page, Datin Noor Azimah Abdul Rahim
(gambar) berkata, matlamat sekunder PPSMI adalah untuk memberi lebih banyak
peluang kepada pelajar mengamalkan bahasa Inggeris – satu langkah penting dalam
meningkatkan penguasaan.
Matlamat pertama adalah untuk membantu pelajar
beraliran sains melakukan peralihan ke universiti dan kolej di mana hampir
semua buku rujukan sains adalah dalam bahasa Inggeris.
"Kemahiran bagi mana-mana bahasa adalah
berkaitan dengan amalan. PPSMI mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelajar
untuk berlatih," katanya sambil menambah Page berkempen bagi pihak
kerajaan untuk membenarkan sekolah meneruskan dasar itu.
Kerajaan menghentikan PPSMI pada 2011, tujuh
tahun selepas ia dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah. Alasan yang
diberikan adalah kadar kenaikan yang kecil sahaja dalam bahasa Inggeris di
kalangan pelajar.
Bagaimanapun Noor Azimah berkata, kajian
menunjukkan dalam peperiksaan Matematik dan Sains di mana pelajar diberi
pilihan sama ada menjawab dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, lebih 90%
pelajar sekolah rendah Tamil menjawab dalam bahasa Inggeris.
Di sekolah-sekolah kebangsaan, kajian yang
sama menunjukkan bahawa 60% pelajar memilih menjawab dalam bahasa Inggeris
berbanding bahasa Melayu.
Di samping lemah bahasa Inggeris, majikan
seperti Raj turut mengadu pencari kerja muda berusia 20-an seolah-olah tidak
dapat menangani tekanan dengan baik atau bekerja dari peringkat bawah.
"Graduan hari ini datang dari kolej dan
ingin cepat menjadi pengurus, tanpa sebarang pengalaman. Anda tidak boleh
memarahi mereka dan mereka juga tidak boleh menangani tekanan," kata Raj,
yang berpengalaman selama 33 tahun dalam bidang perhotelan.
Shamsuddin dari MEF mengatakan pekerja berusia
20-an yang digelar sebagai generasi Y adalah "gelisah" berbanding
generasi sebelumnya.
"Mereka lebih tertarik dengan apa yang
ada di depan mata berbanding di masa hadapan. Mereka kurang tertarik kepada
faedah seperti bonus tahunan, perubatan, persaraan.
"Malah, mereka mahu bonus tahunan diberi
pada kadar bulanan setiap bulan," katanya.
"Saya rasa ia kerana persekitaran ekonomi
hari ini. Syarikat perlu bergerak pantas untuk bersaing dan ia membentuk sikap
pekerja." – 26 Jun, 2014.
Dari Malaysian Insider
OLEH SHERIDAN MAHAVERA
Published: 26 June 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan