PDRM Serap Kor SUKSIS Isi Jawatan Inspektor
KOTA BAHARU, 17 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja
Malaysia (PDRM) bakal menyerap Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS)
Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk mengisi jawatan di peringkat
Inspektor.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan
Keselamatan Komuniti Datuk Wira Ayub Yaakob berkata pengambilan khas akan
dibuka bagi memberi peluang kepada bakal graduan untuk mengisi jawatan tersebut
selain mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.
"Kita sedang mengkaji pelaksanaan ini dan
dari segi teorinya kita tiada masalah kerana mereka sudah menjiwai bidang polis
ini seperti latihan kawad, undang-undang dan serba sedikit amali tentang tugas
kepolisan.
"Pelaksanaan akan dibuat secepat mungkin
dan sekarang ini kita sedang mengkaji bersama di Jabatan Pengurusan kita dan
secara prinsip telah dipersetujui cuma dari aspek pelaksanaan mekanisma sedang
dibuat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan warga
PDRM Kontinjen Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini,
hari ini.
Katanya, lebih 20,000 alumni SUKSIS pula akan
diserap untuk menjadi sukarelawan polis.
Beliau berkata pihaknya bakal menubuhkan Kor
SUKSIS Intitut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang melibatkan 20 IPTS di negara
ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ayub
berkata sehingga Jun lepas jenayah di negara ini telah menurun sebanyak 10.7
peratus berbanding tempoh sama tahun 2013.
"Bagi negeri Kelantan pula, kes jenayah
menurun sebanyak 5.6 peratus tetapi kita perlu mengambil inisiatif yang lebih
berkesan dan agresif untuk kurangkan kes terutama kes kecurian kenderaan yang
menyumbang 40 peratus kes jenayah di negeri ini," katanya.
Beliau berkata kes kecurian kenderaan terutama
motosikal dan kenderaan semakin meningkat dan langkah proaktif perlu diambil
bagi mengurangkan jenayah tersebut.
"Kes ini meningkat mungkin disebabkan
faktor geografi yang bersempadanan dengan Malaysia-Thailand," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan