.

Selasa, 17 Julai 2018

Sembilan premis langgar kesalahan JTK

Sembilan premis langgar kesalahan JTK

KOTA BHARU - Sembilan daripada 12 premis perniagaan yang diperiksa dalam Ops Patuh 2, hari ini, didapati melakukan kesalahan dan melanggar peruntukan undang-undang pekerjaan di bawah peruntukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Pengarahnya, Rosli Omar berkata, pemeriksaan tersebut melibatkan dua cawangan JTK negeri iaitu Kota Bharu dan Kuala Krai dengan kekuatan 10 pegawai yang turun padang seawal jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 8 dan 9 Peraturan-Peraturan Kerja 1957 serta di bawah Seksyen 25A, Seksyen 63A dan Seksyen 60K Akta Kerja 1955 dan Seksyen 43, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Untuk operasi ini, kita akan membuka kes siasatan dan akan menghantar laporan kepada ibu pejabat untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada media dalam satu sidang media di sini.

Rosli berkata, kesalahan-kesalahan tersebut melibatkan majikan yang gagal memberikan penyata gaji, gagal memberikan terma dan syarat perkhidmatan kepada pekerja dan tidak membayar gaji mengikut perintah gaji minimum.

Menurutnya, majikan yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.

“Operasi ini tidak memilih sama ada premis tersebut premis besar atau tidak. Apa yang penting, kita mahu hak pekerja dan tanggungjawab majikan itu sendiri dilaksanakan sebaik mungkin.

“Nasihat saya kepada semua pekerja, anda perlu tahu hak anda dan menyalurkan maklumat kepada JTK terdekat sekiranya kebajikan mereka terabai. Operasi ini juga akan diadakan dari semasa ke semasa mengikut kawasan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/kelantan/sembilan-premis-langgar-kesalahan-jtk-1.856858

Tiada ulasan:

Catat Ulasan